Search

Saturday, August 14, 2010

MENYEGERAKAN BERBUKA DAN MENTAAKHIRKAN SAHUR

ALLAH SWT jadikan semua ibadat dihiasi dgn beberapa perkara sunat, kadang-kadang yg sunat lebih banyak dan perlu diberi perhatian terutama dlm ibadat puasa. Bagi org Islam yg mencintai sunnah Nabi saw, perlu membanyakkan ibadah yg sunat itu kerana jika hanya menumpukan yg wajib sahaja ia seumpama org makan nasi hanya nasi semata-mata tanpa lauk pauk. Tentulah terasa kekurangannya. Tiada manusia yg menikmati hidangan semata-mata nasi putih tanpa lauk pauk dan sebagainya.

Perkara sunat yg pertama ialah mentakhirkan sahur sekira-kira selesai sahaja menikmati hidangan sahur, maka fajar pun menjelma. Sementara berbuka hendaklah disegerakan apabila telah yakin terbenam matahari di ufuk barat.

Tidak terlalu banyak makan apabila berbuka, kerana ia boleh mengganggu daripada memperolehi fadilat solat Maghrib pd awal waktu. Berdoa sebelum berbuka seperti "...Allahumma laka sumtu wabika amantu wa'ala rezkika aftortu.." yg bermaksud "...Ya Allah Ya Tuhanku, keranaMu aku berbuka, denganMu aku beriman dan di atas rezkiMu aku berbuka.." (laka sumna = jika untuk ramai).

Berbuka secara ringkas sama ada dgn buah tamar atau air dingin, supaya dapat bersegera untuk melaksanakan solat maghrib. Sunat berbuka dgn tamar kerana tamar yg manis memberi tenaga setelah berlapar sepanjang hari. Begitu juga air mengandungi mineral yg diperlukan oleh tubuh manusia setelah ketiadaan air dlm badan sepanjang hari.

Antara perkara sunat lain yg perlu diutamakan ialah bermurah hati pd bulan Ramadan. Memeriahkan bulan tersebut dgn amalan sunat bersedekah meskipun hanya dgn sebiji kurma. Bulan Ramadan dikenali sbg bulan 'tarbiyah', untuk tujuan tersebut sewajarnya disuruh anak-anak kecil untuk menghantar apa jua barang sedekah. Agar anak kecil terdidik pd bulan Ramadan sebagai bulan pemurah. Sejak kecil terasuh agar lekat perangai suka memberi sesama jiran dan kerabat terdekat.

Semarakkan Ramadan dgn membaca dan tadarrus al Quran, terutama pd waktu malam sebagai menghidupkan malam bulan Ramadan, agar syiar Ramadan dapat dirasai berbeza dgn bulan selainnya. Disunatkan beriktikaf dalam masjid terutamanya pd 10 hari terakhir. Iktikaf bererti berada di rumah Allah SWT dgn zikrullah iaitu membaca al Quran dan lainnya sebagai suatu ibadah.

Sesungguhnya berada di rumah Allah SWT bererti telah berusaha mendekat dan merapatkan diri kepadaNya. Tetap berkekalan niat dgn maksud iktikaf selama masih berada di dalam masjid. Apabila keluar terus meninggalkan masjid maka berakhirlah maksud iktikaf. Kecuali kerana menunaikan hajat manusia seperti mengajar ilmu agama, atau untuk memberi pertolongan terhadap sesuatu kecemasan dan sebagainya.

Tidak mengapa beriktikaf di masjid dgn memakai wangi-wangian dan juga mengadakan majlis akad nikah, ataupun makan dan minum seperti majlis berbuka puasa. Tidak terkeluar daripada niat iktikaf disebabkan tidur atau pergi basuh tangan kerana semua itu menjadi keperluan hidup manusia umumnya.

Sesungguhnya puasa itu mempunyai tiga (3) peringkat. Pertamanya puasa orang awam. Kedua puasa khusus iaitu puasa org yg mempunyai ilmu pengetahuan agama dan ketiga, puasa khusus al khusus iaitu puasa para wali Allah.

Puasa awam ialah sekadar tidak makan dan minum serta tidak memenuhi kemahuan syahwat jantina pada siang hari. Inilah puasa taraf paling rendah di kalangan orang awam.

Adapun puasa khusus ialah puasa seluruh anggota, termasuk mata tidak dibenarkan memandang perkara yg terlarang. Telinga dihalang daripada mendengar perkara yg tidak mendatangkan kebaikan. Lidah ditegah daripada menuturkan perkara yg lagho apatah lagi yg maksiat dan sia-sia. Tangan dan kaki serta sebarang anggota yg boleh mendatangkan dosa dikehendaki berpuasa juga.

Puasa khusus al khusus pula selain tidak makan dan minum juga tidak menuruti kehendak syahwat di siang hari Ramadan. Turut dikawal ialah akal fikiran, dihalang daripada memikirkan perkara yg tidak berfaedah kepada diri dan agama.

Begitu juga hati dan perasaan, disekat dgn puasa daripada segala prasangka buruk dan sifat-sifat mazmumah seperti perasaan mengingini sesuatu yg bercanggah dgn syariat dan akhlak Islam. Sebaliknya digunakan sepenuhnya akal dan fikiran serta perasaan untuk memikirkan ke-Esaan Allah dan ke-AdilanNya, memikirkan dosa yg telah dilakukan sedangkan amal pahalanya berkurangan.

Ke mana kesudahan diri sebagai hamba Allah sedangkan syurga dan neraka sedang menanti dirinya. Selama sebulan berpuasa tetapi adakah dia memikirkan sebanyak mana pahala yg telah terhimpun, sebanyak mana dosa yg telah terhindar dgn kehadiran 10 malam terakhir.

Adakah dia berjaya menggunakan akal fikirannya secara total untuk tidak memikirkan benda-benda selain daripada Allah SWT. Adakah dia telah melakukan ikhtiar untuk mencapai segala kemuliaan yg dikurniakan kepada para wali Allah kerana para wali itu terdiri dari jenis manusia juga. Tetapi dgn sebab para wali Allah itu menghendaki sesuatu kemuliaan di sisi Allah, maka dia berusaha sepenuh jiwa dan dengan itu segala hajatnya telah dipenuhi oleh yg Maha Esa.















Sunday, August 8, 2010

Dapatkan Rezeki Melalui Syarak Dan Pintu Warak

BERKATA Aisyah r.a bahawa ada ketikanya Nabi saw bangun solat malam apabila terdengar bunyi kokok ayam. Sebagaimana yang dihuraikan dalam kitab "KIFAYATUL AKHYAR", '...bahawa ayam berkokok apabila ia terlihat para malaikat sebagai pegawai Allah sedang menjalankan tugas untuk memeriksa kalangan manusia sama ada bersolat malam atau tidak". Menurut kitab tersebut bahawa ayam berkokok menandakan bahawa Nabi saw bangun solat malam ketika seperenam malam.

Itulah persoalan yang dikemukakan oleh Imam Ghazali r.a bagi memudahkan seseorang bangun untuk solat malam. Insya Allah ia akan mendatangkan kesan baik terhadap yang prihatin tentang solat malam. Kini memperkatakan pula tentang makan minum serta adabnya, yg ada kaitan juga dengan qiyamullail serta jemputan jamuan dan adab tentang tetamu yg berkunjung.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Bijaksana menjaga makhluk dan mengatur alam ini. Lebih dahulu diciptakan langit dan bumi, kemudian diturunkan air hujan dari langit. Allah SWT menolong makhlukNya menikmati air yg menjadi keperluan, diturunkan air hujan dari awan tebal dalam bentuk renjisan. Bayangkan jika air hujan turun seperti air tasik ditakung, jatuh menghempap manusia dan tanaman. Hempapan air dalam kuantiti besar sebegitu rupa pastinya akan membinasakan apa saja yg ditimpanya.

Allah Yg Maha Bijaksana telah menciptakan kawalan terhadap hujan, sebagaimana firmanNya yg bermaksud "...Dan Kami turunkan dari awan (al-Mu'shirot) air yg banyak mencurah-curah.." (Surah An Naba,ayat 14). Sistem Mu'shirot ini bagaikan air hujan diperah dari awan mendung lalu gugur secara merenjis lalu ia memberi manfaat secara aman kepada manusia serta tumbuhan dan makhluk lainnya. Amat besar faedahnya air yg turun dari langit sebagaimana firmanNya yg bermaksud "...Supaya Kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan dan kebun-kebun yg lebat.." (Surah An Naba, ayat 15-16).

Pelbagai jenis tumbuhan disuburkan dengan air yg Allah turunkan secara renjisan dan Dia mentakdirkan rezeki untuk hambaNya mengikut kadar sukatan yg Allah SWT telah takdirkan. Jika sistem pengagihan rezeki di dunia ini tidak dimonopoli oleh golongan tamak nescaya tidak akan berlakunya tragedi kebuluran dalam masyarakat insan.

Terlebih dahulu diberi jaminan rezeki dan keselamatan sebelum Allah SWT ciptakan makhlukNya. Allah mengawal selia kesihatan dan tenaga manusia serta haiwan melalui zat khasiat rezeki yg dimakan. Soal kenyang bukannya matlamat utama sebaliknya supaya tubuh insan mendapat segala khasiat dan zat daripada makanan yg diperlukan.

Melalui segala zat itu akan dapat membina kekuatan tubuh dan kesihatan, Allah SWT menolong manusia supaya melakukan perkara taat dan amalan solih melalui tenaga yg terhasil daripada zat makanan yg toyyibah (halal) itu. Dihasilkan tenaga dgn tujuan untuk bertemu Allah SWT pada hari pembalasan kelak. Tiada cara utk sampai kepadaNya kecuali dgn ilmu dan amal solih.

Tidak berupaya menguasai ilmu dan amal solih kecuali sihat dan bertenaga tubuh badan. Tidak akan selamat kecuali dgn mengambil makanan dan minuman sekadar hajat. Atas alasan tersebut berkata sebahagian ulama', soal makan itu adalah urusan agama sebagaimana firmanNya yg bermaksud "...Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yg baik-baik dan kerjakanlah amal yg solih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yg kamu kerjakan..". (Surah Al Mukminun, ayat 51).

Allah SWT menyuruh para rasul supaya makan makanan yg toyyibah (halal dan berkhasiat) kerana tenaga yg terhasil daripada zat makanan akan digunakan utk menyampaikan ajaran taqwa dan amal solih kepada Allah SWT. Ayat perintah beramal solih berangkai dgn ayat arahan makan benda baik (toyyibah) menunjukkan bahawa makan itu berkait langsung dengan agama. Supaya makan itu menjadi sebahagian urusan agama maka di dalamnya ada perkara fardhu dan sunat serta adab-adab dan fadhilat.

Sebelum makan sesuatu hidangan lebih dahulu hendaklah mengetahui, bukan sahaja dari segi halalnya bahkan juga bentuk mata pencariannya. Meskipun makanan itu halal jika cara mencarinya menggunakan wang yg tidak halal (wang hasil menipu, rasuah dan sebagainya) maka natijahnya haram juga. Jesteru cara mendapatkan rezeki itu juga hendaklah sejajar dengan apa yg dikehendaki oleh syarak dan sunnah Nabi saw serta selaras dengan perhitungan warak.

Warak itu perkara di atas dari masalah fiqh, kerana fiqh hanya membahas halal dan haram. Sedangkan warak pula adalah termasuk dalam persoalan tasauf yg menghalusi perbicaraan hati sanubari. Justeru itu hanya agama yg boleh mengawal hati manusia melalui peraturan yg dinamakan 'warak'.

Pengertian warak ialah harta yg tidak diusaha dengan cara yg tidak makruh dan tidak menurut hawa nafsu serta tidak meremeh dan memperkecilkan tuntutan agama. Perkata seperti ini jangan wujud dalam urusan rumah tangga, iaitu cara yg makruh seperti jual beli yg tidak dengan berakad.

Ada yg berpendapat jual beli cara demikian tidak sah, ada pendapat lain menghukumkan makruh. Meskipun cara demikian betul dari segi fiqh, namun situasi makruh jangan berlaku dalam urusan rumah tangga. Ini kerana cara sedemikian bererti memasukkan rezeki ke dalam rumah dengan tidak melalui pintu warak.