Search

Saturday, August 14, 2010

MENYEGERAKAN BERBUKA DAN MENTAAKHIRKAN SAHUR

ALLAH SWT jadikan semua ibadat dihiasi dgn beberapa perkara sunat, kadang-kadang yg sunat lebih banyak dan perlu diberi perhatian terutama dlm ibadat puasa. Bagi org Islam yg mencintai sunnah Nabi saw, perlu membanyakkan ibadah yg sunat itu kerana jika hanya menumpukan yg wajib sahaja ia seumpama org makan nasi hanya nasi semata-mata tanpa lauk pauk. Tentulah terasa kekurangannya. Tiada manusia yg menikmati hidangan semata-mata nasi putih tanpa lauk pauk dan sebagainya.

Perkara sunat yg pertama ialah mentakhirkan sahur sekira-kira selesai sahaja menikmati hidangan sahur, maka fajar pun menjelma. Sementara berbuka hendaklah disegerakan apabila telah yakin terbenam matahari di ufuk barat.

Tidak terlalu banyak makan apabila berbuka, kerana ia boleh mengganggu daripada memperolehi fadilat solat Maghrib pd awal waktu. Berdoa sebelum berbuka seperti "...Allahumma laka sumtu wabika amantu wa'ala rezkika aftortu.." yg bermaksud "...Ya Allah Ya Tuhanku, keranaMu aku berbuka, denganMu aku beriman dan di atas rezkiMu aku berbuka.." (laka sumna = jika untuk ramai).

Berbuka secara ringkas sama ada dgn buah tamar atau air dingin, supaya dapat bersegera untuk melaksanakan solat maghrib. Sunat berbuka dgn tamar kerana tamar yg manis memberi tenaga setelah berlapar sepanjang hari. Begitu juga air mengandungi mineral yg diperlukan oleh tubuh manusia setelah ketiadaan air dlm badan sepanjang hari.

Antara perkara sunat lain yg perlu diutamakan ialah bermurah hati pd bulan Ramadan. Memeriahkan bulan tersebut dgn amalan sunat bersedekah meskipun hanya dgn sebiji kurma. Bulan Ramadan dikenali sbg bulan 'tarbiyah', untuk tujuan tersebut sewajarnya disuruh anak-anak kecil untuk menghantar apa jua barang sedekah. Agar anak kecil terdidik pd bulan Ramadan sebagai bulan pemurah. Sejak kecil terasuh agar lekat perangai suka memberi sesama jiran dan kerabat terdekat.

Semarakkan Ramadan dgn membaca dan tadarrus al Quran, terutama pd waktu malam sebagai menghidupkan malam bulan Ramadan, agar syiar Ramadan dapat dirasai berbeza dgn bulan selainnya. Disunatkan beriktikaf dalam masjid terutamanya pd 10 hari terakhir. Iktikaf bererti berada di rumah Allah SWT dgn zikrullah iaitu membaca al Quran dan lainnya sebagai suatu ibadah.

Sesungguhnya berada di rumah Allah SWT bererti telah berusaha mendekat dan merapatkan diri kepadaNya. Tetap berkekalan niat dgn maksud iktikaf selama masih berada di dalam masjid. Apabila keluar terus meninggalkan masjid maka berakhirlah maksud iktikaf. Kecuali kerana menunaikan hajat manusia seperti mengajar ilmu agama, atau untuk memberi pertolongan terhadap sesuatu kecemasan dan sebagainya.

Tidak mengapa beriktikaf di masjid dgn memakai wangi-wangian dan juga mengadakan majlis akad nikah, ataupun makan dan minum seperti majlis berbuka puasa. Tidak terkeluar daripada niat iktikaf disebabkan tidur atau pergi basuh tangan kerana semua itu menjadi keperluan hidup manusia umumnya.

Sesungguhnya puasa itu mempunyai tiga (3) peringkat. Pertamanya puasa orang awam. Kedua puasa khusus iaitu puasa org yg mempunyai ilmu pengetahuan agama dan ketiga, puasa khusus al khusus iaitu puasa para wali Allah.

Puasa awam ialah sekadar tidak makan dan minum serta tidak memenuhi kemahuan syahwat jantina pada siang hari. Inilah puasa taraf paling rendah di kalangan orang awam.

Adapun puasa khusus ialah puasa seluruh anggota, termasuk mata tidak dibenarkan memandang perkara yg terlarang. Telinga dihalang daripada mendengar perkara yg tidak mendatangkan kebaikan. Lidah ditegah daripada menuturkan perkara yg lagho apatah lagi yg maksiat dan sia-sia. Tangan dan kaki serta sebarang anggota yg boleh mendatangkan dosa dikehendaki berpuasa juga.

Puasa khusus al khusus pula selain tidak makan dan minum juga tidak menuruti kehendak syahwat di siang hari Ramadan. Turut dikawal ialah akal fikiran, dihalang daripada memikirkan perkara yg tidak berfaedah kepada diri dan agama.

Begitu juga hati dan perasaan, disekat dgn puasa daripada segala prasangka buruk dan sifat-sifat mazmumah seperti perasaan mengingini sesuatu yg bercanggah dgn syariat dan akhlak Islam. Sebaliknya digunakan sepenuhnya akal dan fikiran serta perasaan untuk memikirkan ke-Esaan Allah dan ke-AdilanNya, memikirkan dosa yg telah dilakukan sedangkan amal pahalanya berkurangan.

Ke mana kesudahan diri sebagai hamba Allah sedangkan syurga dan neraka sedang menanti dirinya. Selama sebulan berpuasa tetapi adakah dia memikirkan sebanyak mana pahala yg telah terhimpun, sebanyak mana dosa yg telah terhindar dgn kehadiran 10 malam terakhir.

Adakah dia berjaya menggunakan akal fikirannya secara total untuk tidak memikirkan benda-benda selain daripada Allah SWT. Adakah dia telah melakukan ikhtiar untuk mencapai segala kemuliaan yg dikurniakan kepada para wali Allah kerana para wali itu terdiri dari jenis manusia juga. Tetapi dgn sebab para wali Allah itu menghendaki sesuatu kemuliaan di sisi Allah, maka dia berusaha sepenuh jiwa dan dengan itu segala hajatnya telah dipenuhi oleh yg Maha Esa.